Saturday, May 1, 2010

JENIS PERCERAIAN

Perceraian Khuluk

Perceraian khuluk dikenali juga sebagai perceraian tebus talak. Ini berlaku dalam keadaan suami enggan menceraikan isterinya sedangkan isteri tidak boleh lagi hidup bersama suami dan suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri, setelah isteri memohon perceraian, tetapi kedua-dua pihak bersetuju bercerai dengan cara isteri memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya, Maka, jika kadar tebusan dipersetujui, suami hendaklah melafazkan talak. Perceraian tersebut ialah perceraian tebus talak.

Definisi

Dari sudut bahasa arab bermaksud Tanggal

Pada istilah iaitu suatu perceraian yang diminta oleh isteri dari suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya.

Rukun Khuluk

Suami

Isteri

Bayaran

Sighah(ijab qabul)

Kadar Bayaran

Tiada kadar tertentu yang ditetapkan bagi sesuatu permohonan khuluk. Ianya bergantung kepada persetujuan antara kedua pihak iaitu suami isteri yang ingin bercerai. Kebiasaannya, terdapat suami yang menuntut supaya dibayar dengan jumlah separuh daripada wang hantaran perkahwinan. Namun, ada juga yang meminta dalam jumlah yang banyak contohnya RM 1000, RM 20.000 dan sebagainya.

Contoh sighah khuluk:

“Aku khuluk engkau dengan $1,000.00 atau aku ceraikan engkau dengan tebusan $1,000.00 lalu dijawab oleh isteri ‘aku terima perceraian ini dengan wang tersebut”.

Permohonan Khuluk

Permohonan bagi mendapatkan cerai khuluk perlu dikemukakan di mahkamah syariah dan kes tersebut akan didaftarkan untuk perbicaraan. Sekiranya pihak suami bersetuju untuk melafazkan khuluk maka perceraian akan didaftarkan.

Sebaliknya jika suami enggan melafazkan cerai khuluk maka satu jawatankuasa pendamai akan dibentuk. Jika laporan jawatankuasa adalah positif iaitu perdamaian diperolehi maka kes akan ditutup. Sekiranya laporan gagal menunjukkan perdamaian maka Mahkamah Syariah akan memerintahkan suami melafazkan cerai khuluk dan perceraian tersebut akan didaftarkan.

Implikasi

Suami isteri yang berpisah kerana khuluk tidak boleh merujuk kembali, walaupun si isteri masih berada di dalam tempoh edah.

Ini adalah kerana, khuluk termasuk di dalam kategori talak bain sughra iaitu tidak boleh rujuk tetapi pasangan ini boleh bersama semula sebagai pasangan suami isteri dengan akad nikah baru.

Sebab Khuluk

Isteri tidak tertahan lagi tinggal dengan suaminya kerana suami berperangai jahat.

Suami menyakiti hatinya menyebabkan isteri telah kehilangan kasih-sayang terhadap suami.

Kerana sebab-sebab lain yang membuat mereka tidak dapat bersama atau bergaul dengan aman dan harmoni.

Perceraian Fasakh(Perintah Untuk Membubarkan Perkahwinan)

Dari sudut bahasa arab ialah menanggalkan atau menyingkirkan.

Pada istilah ialah membatalkan atau pembubaran perkahwinan melalui kuasa kadhi(perintah mahkamah). sekiranya didapati sesuatu sebab atau kecacatan sama ada pada pihak isteri atau suami

Sebab Fasakh

  1. Suami telah menghilang diri tanpa diketahui di mana berada selama tempoh lebih daripada satu tahun.
  2. Suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukkan nafkah isteri dan anak-anak selama tempoh 3 bulan.
  3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
  4. Suami tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.
  5. Suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk.
  6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang menghidap penyakit berjangkit.
  7. Isteri telah dikahwinkan oleh wali dengan lelaki yang bukan sekufu.
  8. Suami menganiayanya, antara lain:-

i. Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.

ii. Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara’’ atau.

iii.Menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.

iv. Jika ia mempunyai isteri lebih dari seorang dia tidak melayan isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syara’’.

  1. Bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau lain-lain hal keadaan yang diakui oleh hukum syara’.

Sighah Fasakh

Contoh kadhi melafazkan fasakh

Aku fasakhkan nikah engkau dari suami engkau yang bernama… bin …. pada hari ini”.

Kalau isteri itu sendiri yang menfasakhkan dihadapan mahkamah atau hakim ia berkata

Aku fasakhkan nikahku dari suamiku yang bernama ……bin ….pada hari ini”.

Implikasi Dari Cerai Fasakh

Setelah fasakh itu dilakukan maka tercerailah isteri itu dengan talak ba’in sughra.

Sekiranya suami ingin kembali menjadi suami isteri hendaklah melalui pernikahan yang baru setelah selesai edahnya. Dan edah baginya sama seperti perceraian biasa.

Perceraian Ta’lik

Maksud penceraian ta’lik ialah apabila seorang suami membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melaku atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu:

Contoh 1:

Selepas akad nikah disempurnakan pengantin lelaki diminta membaca lafaz ta’likseperti lafaz ta’lik yang ditetapkan oleh Undand-undang Pentadbiran Negeri. seperti

“Sekiranya saya meninggalkan isteri saya lebih daripada enam bulan tanpa memberi nafkah zahir atau batin secukupnya atau sekiranya saya memukul atau mendera isteri atau mendatangkan mudarat kepada isteri saya .Setelah isteri ia mengadu kepada Mahkamah Syariah di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya serta membayar sebayak RM 1.00 dan sekiranya pengaduan itu sabit dan disahkan oleh mahkamah jatuhlah talah satu”.

Sambungan……

Contoh 2:

a) Suami berkata kepada isteri:

Aku akan belikan kamu pada bulan hadapan dua pasang baju kebaya sutera dan jika aku tidak dapat menyempurnakannya, kita berdua akan bercerai”.

Sekiranya pada bulan berkenaan suami tidak menyempurnakan janji tersebut maka tertakluk kepada pengesahan mahkamah, terjadilah perceraian ta’lik.

b) Suami membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melaku atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu:berkata kepada isteri seperti :

i. “Jika engkau keluar rumah ini tanpa kebenaranku, maka kau akan tertalak.”

ii. Jika engkau pergi ke rumah saudaramu atau kawanmu pada hari ini maka engkau akan tertalak.”

iii. Jika saya balik ke rumah dalam masa sebulan maka engkau tertalak.”

Jika berlaku perkara yang digantungkan dalam hal perkara di atas tadi seperti isteri keluar rumah tanpa izin atau isteri pergi ke rumah saudaranya, talak akan jatuh dan perceraian telah berlaku disebabkan berlakunya perkara yang digantungkan dalam ucapan suami seperti di atas.

Rumusan

Perceraian ta’lik dikaitkan dengan sesuatu sebagai syaratnya. Ia tidaklah jatuh talak pada waktu itu juga (secara langsung) melainkan apabila kaitan syarat itu telah terjadi. Sesuatu yang dijadikan syarat itu tidak terjadi pada waktu diikrarkan ta’lik talak tersebut tetapi terjadi kemudian.

ZIHAR

Dari sudut bahasa arab ialah belakang

Pada istilah iaitu seseorang suami menyamakan belakang isterinya atau mana-mana anggota badan dengan ibunya atau mana-mana perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya.

Menurut istilah syara’ perempuan yang diharamkan berkahwin tersebut hendaklah yang diharamkan berkahwin buat selama-lamanya samada dengan sebab nasab,susuan atau persemendaan seperti ibu dan anak perempuan.

Hukum

Zihar hukumnya haram. Ini bermakna lelaki yang menziharkan isterinya dikira berdosa kerana mengharamkan perkara yang halal. Perbuatan zihar sekali imbas dapat dilihat seakan-akan ila’ kerana kedua-duanya adalah satu pernyataan untuk tidak bersetubuh dengan isteri dan persetubuhan hanya boleh dilakukan setelah membayar kifarat (denda).

Rukun Zihar

  1. Suami yang menzihar
  2. Isteri yang dizihar.
  3. Lafaz Zihar(sighah)
  4. Orang yang diserupakan

Syarat-Syarat Sah Zihar

Suami

Berakal

Baligh

Dengan Kemahuan sendiri

Isteri

Isteri yang sah walaupun masih kecil, gila,sakit atau masih dalam edah raj’ie

Syarat-Syarat Sah Zihar

Sighah

Soreh

lafaz yang jelas yang digunakan khusus untuk zihar sahaja dan tidak mengandungai makna yang lain.

Contoh Lafaz Zihar Soreh:

Seperti kata suami kepada isterinya:"Belakang kamu seperti ibu aku" atau "Hidung kamu seperti hidung ibu aku"atau“diri engkau seperti tubuh ibuku”

Kinayah

iaitu lafaz yang mempunyai kemungkinan makna zihar dan erti yang lain. Lafaz kinayah ini memerlukan niat untuk menentukan maksud yang sebenar. Apabila lafaz ini diungkapkan , sekiranya ia berniat zihar maka ia menjadi zihar . Tetapi sekiranya ia hanya sekadar untuk menunjukkan kepada kekaguman, maka ia tidak dianggap zihar .

Contoh Lafaz Zihar Kinayah:

Seperti kata suami kepada isterinya:“ kamu padaku seperti ibuku ataupun akakku”atau“engkau seperti kepala ibuku”lafaz kinayah memerlukan pada niat zihar

Syarat-Syarat Sah Zihar

Orang yang diserupakan

Diharamkan berkahwin buat selama-lamanya sama ada dengan sebab nasab,susuan atau persemendaan.seperti ibu dan anak perempuan.

Menyerupakan dengan anggota zahir yang masih bersambung.

Implikasi

Apabila telah berlaku zihar, maka suami diharamkam bersetubuh dengan isterinya kecuali setelah membayar kifarat (denda).

Kifarah Zihar

membebaskan (memerdekakan ) seorang hamba Muslim.

berpuasa dua bulan berturut-turut

memberi makan enam puluh orang miskin dengan secupak beras setiap seorang atau dinilaikan harga makanan tersebut.

ILA’

Menurut bahasa : Bermakna Sumpah

Menurut istilah syara’ : “Ila’ ialah sumpah seorang suami untuk tidak bersetubuh dengan isterinya selama-lamanya atau melebihi empat bulan”.

Hukum

Hukum ila’ adalah haram kerana ila’ ialah perbuatan yang memudharatkan si isteri dan ia juga merupakan sumpah untuk meninggalkan perkara yang wajib (bersetubuh).

Rukun Ila’

Suami yang mengila’

Isteri yang disumpah

Sesuatu yang dibuat sumpah iaitu nama Allah dan sifatnya.

Masa

Lafaz Ila’(sighah)

Syarat-Syarat Sah Ila’

Syarat-syarat suami

Suami yang sah.

Suami yang sah talaqnya bukan gila,kanak-kanak dan yang dipaksa.

Suami yang mampu untuk melakukan persetubuhan bukan suami yang terpotong zakarnya, mati pucuk dan sebagainya.

Syarat-syarat isteri

Isteri itu boleh di setubuhi, bukan isteri yang mempunyai kecacatan seperti ketumbuhan daging atau tulang di dalam farajnya atau seumpamanya dari kecacatan-kecacatan yang tidak dapat disetubuhi.

Syarat-Syarat Sah Ila’

Syarat-syarat suatu yang dibuat sumpah

Dengan nama Allah, sifat-sifatnya dan setiap sumpah yang melazimkan dirinya dikenakan hukuman seperti mentakliqkan sumpah dengan talaq, ibadah dan sebagainya

Meninggalkan persetubuhan yang syar’e bukan sumpah meningalkan bersuka-sukaan dan bercumbu-cumbuan dengan isteri dengan tiada berjimak atau pada waktu haid dan ihram.

Syarat-Syarat Sah Ila’

Syarat-syarat tempoh masa

Lebih dari empat bulan atau tiada had masa seperti dita’likkan dengan suatu perkara yang akan berlaku tetapi masih jauh seperti katanya:

“ Demi Allah aku tidak mahu mempersetubuhi engkau selama empat bulan sepuluh hari”

Demi Allah aku tidak mahu mempersetubuhi engkau”

Demi Allah aku tidak mahu mempersetubuhi engkau sehingga mati”.

Syarat-Syarat Sah Ila’

Syarat-syarat lafaz ila’

Lafaz sumpah ila’ adakalanya lafaz soreh dan adakala lafaz kinayah.

a)Lafaz soreh iaitu lafaz yang jelas tidak perlu kepada niat seperti:

    1. Aku tidak akan bersetubuh dengan kamu lebih dari empat bulan.
    2. Aku tidak akan jimak dengan kamu lebih dari empat bulan.

b) Lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak menunjukkan ila’ kecuali dengan niat:

"Aku tidak akan sentuh kamu selama empat bulan." Dalam lafaz ini sekiranya suami berniat makna sentuh itu ialah bersetubuh maka sahlah ila’ pada ketika itu.

Implikasi Ila'

Terdapat dua implikasi yang timbul akibat perbuatan ila’ sekiranya seorang suami yang telah melafazkan ila’ kemudian dia telah melanggar ila’nya itu dengan bersetubuh kembali dengan isterinya sebelum cukup tempoh empat bulan atau lebih maka dia diberi pilihan hendak hidup bersama atau memilih untuk bercerai.

Implikasi Ila'

Memilih Hidup Bersama

wajib membayar kifarah yamin iaitu hukuman ke atas sumpah untuk menghalalkan persetubuhan,

memerdekakan seorang hamba Muslim.

memberikan makanan kepada sepuluh orang miskin, satu cupak setiap seorang.

berpuasa selama tiga hari berturut-turut.

Apabila kifarat telah ditunaikan maka gugurlah ila’ dan suami dibenarkan bergaul semula dengan isterinya.

Memilih Penceraian

Jika suami tidak melakukan pembatalan sumpahnya(tidak menyetubuhi isterinya). atau tidak mentalak isterinya maka qadhi berhak menjatuhkan talaq dengan talaq satu.

EDAH

Dari sudut bahasa perkataan edah menurut bahasa arab ialah bilangan atau hitungan.

Mengikut kehendak ahli-ahli ilmu fekah satu tempoh masa untuk perempuan-perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya sama ada dicerai hidup atau cerai mati. Wajib menunggu untuk mengetahui samada ia mengandung atau tidak dan untuk menunaikan perintah Allah s.w.t.

Jenis-Jenis Dan Tempoh Edah

Hikmah

Bagi memberi peluang keluarga kedua pihak mengadakan rundingan dalam menyelesaikan suami-isteri yang bercerai merujuk semula dan hidup aman bahagia seperti sediakala

Bagi memberi peluang antara suami isteri berfikir secara mendalam bahawa perceraian itu membawa masalah kepada anak-anak di bawah jagaan mereka. Anak-anak akan menjadi terbiar dan hidup kurang kasih sayang ibu-bapa.

Memberi masa yang secukupnya kepada suami-isteri menyedari kesilapan yang telah lalu dan mempunyai azam untuk menjadi pasangan yang bertanggungjawab kepada keluarga.

Dengan adanya edah, setiap pasangan dapat memastikan isterinya itu mengandung atau tidak.

Sebagai tanda bersedih dan berkabung atas kematian suami.

RUJUK

Dari sudut bahasa ialah kembali atau pulang semula.

Mengikut kehendak ahli-ahli ilmu fekah ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam masa idah yang bukan talak ba’in mengikut sayarat-syarat tertentu tanpa angkat nikah semula.

Dengan perkataan lain, kembali bersatu semula sebagai suami isteri dengan menarik balik perceraian yang telah berlaku sewaktu edah masih ada.

Rukun Rujuk

Orang yang merujuk(suami)

Orang yang dirujuk (Isteri itu pernah disetubuhi)

Lafaz rujuk

Syarat-Syarat Sah Rujuk

a. Syarat-syarat orang yang merujuk(suami)

Tanpa disyaratkan oleh suami dengan perkara-perkara yang tertentu

Dengan kerelaan sendiri tanpa dipaksa

b. Syarat-syarat orang yang dirujuk

Diceraikan dengan talak raj’i (talak 1 dan 2)

Isteri masih dalam edah

Yang dirujuk ialah bekas isterinya yang telah disetubuhi

c. Lafaz rujuk

Dengan perkataan yang menunjukkan rujuk

Lafaz rujuk boleh dilakukan secara sindiran atau secara soreh(terang)

Contohnya:

“ Saya jadikan awak milik saya kembali”

“ Saya rujuk awak

Hikmah Rujuk

Memberi ketenangan jiwa.

Rujuk dapat mengembalikan semula keharmonian dan ketenangan jiwa setelah mengalami keadaan yang pahit selepas penceraian.

Memberi keinsafan dan bertanggungjawab.

Rujuk dapat menginsafkan dan memberi suami dan isteri lebih bertanggungjawab setelah melihat keluarga dan anak-anak menderita kerana kehilangan kemesraan dan kasih sayang.

Sesuai dengan tabiat fitrah manusia.

Manusia adalah insan lemah yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Dengan adanya rujuk, pasangan yang bercerai dapat memperbetulkan kesilapan masing-masing.

Menyambung semula hubungan suami isteri yang telah bercerai dan memberi Peluang membaiki kesilapan yang mereka lakukan.

Memperbaiki semula hubungan kekeluargaan yang terputus.

Memberi peluang kepada mana-mana pasangan yang mungkin menyesal sesudah bercerai untuk hidup bersama semula. Pada kebiasaannya sebelum bercerai orang bersifat gopoh atau dihasut perasaan yang terlampau marah atau sebagainya kemudian menyesal dengan tindakan itu.

Cara-Cara Melakukan Rujuk

Rujuk dilakukan tidak perlu mendapat persetujuan isteri.

Contoh lafaznya:

“ Saya rujuk kamu kembali” atau lafaz kinayah seperti “ Saya ambil kamu kembali

Ucapan lafaz rujuk tidak perlu saksi tetapi sunat mengadakan saksi sekurang-kurangnya 2 orang lelaki yang adil.

Maka apabila mereka telah mendekati edahnya, rujukilah mereka dengan baik, atau lepaskanlah mereka dengan baik. Persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil diantara kamu, dan adakan saksi itu kerana Allah semata-mata” (Al-Talaq:2)

Sekiranya suami telah merujuki isterinya secara sembunyi, wajib ke atas suami memberitahunya, supaya isterinya itu jangan dikahwini oleh orang lain.

IHDAD(BERKABUNG)

Dari sudut bahasa mermakna berkabung

Mengikut kehendak ahli-ahli ilmu fekah meninggalkan perhiasan pada diri (perempuan yang kematian suami). Dengan meninggalkan daripada memakai kain yang dicelup (bewarna terang) yang diqasadkan (tujuan) memakainya sebagai perhiasan di waktu siang dan malam

Hukum Ihdad

Menurut ijma’ para ulama’, berkabung adalah wajib bagi wanita yang kematian suami. Di samping itu mereka berbeza pendapat tentang hukum ihdad bagi sesetengah perempuan yang bukan kematian suami.

Hikmah Ihdad

  1. Secara umumnya adalah sebagai menzahirkan rasa sedih terhadap kehilangan seseorang dengan cara yang terbatas dan terkawal, tidak seperti kelakuan orang-orang jahiliah apabila berlakunya kematian, mereka akan menangis dengan menjerit-jerit, menampar-nampar pipi serta mengoyak-ngoyakkan baju dan barbagai-bagai lagi perkara yang dilarang oleh syara‘.

2. Perbuatan berhias atau bersolek boleh menarik perhatian lelaki bahkan boleh membuatkan lelaki tergoda. Oleh sebab itu perbuatan sedemikian ditegah oleh Islam bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang buruk demi menjaga kesucian syariat Allah Subhanahu wa ta’ala. Berkabung adalah sebagai ganti diri suami yang telah tiada untuk megawal dan mengawas isterinya yang ditinggalkannya dalam tempoh waktu yang tertentu.

6 comments:

  1. Asik crita cerai dari sudut suami jer? Bagaimana kes isteri yang curang dan suami hendak menuntut ganti rugi atas perkahwinan yang telah dibina?

    ReplyDelete
    Replies
    1. sekiranya isteri curang, si suami boleh memfailkan kes nusyuz terhadap isteri dan suami tidak lagi dipertanggungkawabkan untuk memberi nafkah kepada isteri sehingga isteri kembali taat kepada suami.Berkenaan persoalan suami hendak menuntut gantirugi perkahwinan yang telah dibina, kebiasaannya gantirugi dalam perkahwinan dituntut disebakan oleh terdapat hutang yang dibuat oleh salah satu pihak terhadap satu pihak lagi. Melainkan encik boleh membuktikan kepada mahkamah bahawa encik telah memberikan duit atau pinjaman kepada isteri namun isteri tidak menggunakan dengan sebaiknya. Di sini, encik boleh menidakkan hak isteri untuk mendapatkan nafkah mutaah dengan menyatakan bahawa dia tidak berhak untuk mendapatkan mutaah disebabkan perbuatan curang tersebut ataupun isteri tidak boleh mendapat sejumlah yang banyak bagi hak mutaah tersebut. Ini memandangkan mutaah hak wajib isteri, tetapi amaunt tersebut boleh dikurangkan dengan menyatakan kesalahan yang telah isteri lakukan sepanjang tempoh perkahwinan. Sekian.

      Delete
  2. Isteri kena byr jugk ka klw cerai fasakh...cntoh nya biar pon suami tk da bg nfkah ngn istri lbih 3 buln bturut2.mlh isteri yg bg duit kt suami.....lgi 1..suami pon tlibat ngn gjla dadh n judi....perlu ka isteri byr denda sb mnta crai fasakh???.. tlg jwp ples..

    ReplyDelete
  3. salam.saya ingin menjawab persoalan kedua 'unknown',sekiranya isteri ingin membuat tuntutan fasakh, isteri tidak perlu membayar gantirugi kerana fasakh dituntut atas kelalaian suami menjalankan tanggungjawabnya.

    ReplyDelete
  4. Assalammualaikum wbt, bagaimana hukumnya suami isteri yg dah tak tdur sbilik selama hampir setahun, tpi msih duduk serumah ats sbb suami tidak mahu menceraikan isterinya sdg isterinya telah nyusuz kpdny dn curang kpd suaminya,,, apakh suaminya jugak telah dianggap dayus,,, kerna tahu kecurangan isteriny tpi tetap membiarkan isterinya terus berbuat dosa,, perkara sebegini sering blaku di kalangan masyarakat skrg ni,, mohon ustaz /ustazah jelaskan,,, tkasih,,

    ReplyDelete
  5. Sekiranya isteri memohon khuluk bolehkah suami meminta balik hantaran Dan mas kahwin?

    ReplyDelete