Saturday, May 1, 2010

PERNIAGAAN DALAM ISLAM

DEFINISI

Perniagaan ialah pertukaran barang dengan barang atau pertukaran barang dengan perkhidmatan

Syed Sabiq, pula mendefinisikan perniagaan sebagai satu proses iaitu apabila perniagaan itu berfungsi melalui pertukaran harta dengan harta di atas persetujuan penjual dan pembeli mengikut cara-cara yang diizinkan oleh syarak

Prinsip Perniagaan Islam

Kebebasan

Kerelaan

Keadilan

Perlindungan

Kesopanan

Urusniaga tanpa riba

Layanan baik

Melindungi hak-hak penjual dan pembeli

Jujur dan amanah

Rajin dan tekun

JUAL BELI

PENGERTIAN JUAL BELI

Jual beli ialah menukarkan barang dengan barang mengikut cara tertentu.


HUKUM

Harus


HIKMAH JUAL BELI

INDIVIDU

Penjual

(a) Mendapat rahmat dan keberkataan daripada Allah dengan mengikut apa yang telah disyariatkan
(b) Dapat berniaga dengan aman tanpa berlakunya khianat mengkhianati antara satu sama lain.

Pembeli

(a) Berpuas hati di atas urusniaga yang dijalankan kerana peniga menjalankan urusan mengikut syariat islam.
(b) Mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah di atas urusniaga yang berlandaskan syariat Islam
(c) Terhindar daripada siksaan api neraka.

MASYARAKAT

(a) Menyenangkan manusia bertukar-tukarfaedah harta dalam kehidupan seharian
(b) Menghindarkan kejadian rampas merampas dan ceroboh mencerobohi dalam usaha memiliki harta
(c) Menggalakkan orang ramai supaya hidup berperaturan, bertimbang rasa, jujur dan ikhlas.

NEGARA

(a) Meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.
(b) Dapat menarik pelabur asing untuk melabur dalam ekonomi negara.
(c) Menggalakkan persaingan ekonomi yang sihat sesama negara islam

RUKUN JUAL BELI

  1. PENJUAL DAN PEMBELI

mukallaf ( akil baligh )

Waras

kemahuan sendiri

Bebas membuat pilihan

Penjual dan pembeli pihak yang berlainan

Boleh melihat

tidak muflis

Islam (untuk jual beli al-quran dan hadis )

RUKUN JUAL BELI

2. BARANG JUALAN DAN HARGA

bersih dan suci

berfaedah

Bernilai menurut syara’

milik penjual atau wakil

boleh diserah kpd pembeli ketika akad (Wujud Barang)

keduanya tahu jenis, kadar dan sifat barang

RUKUN JUAL BELI

3. HARGA

barangan suci

harga ( wang ) milik pembeli

boleh diserahkan kpd penjual n keduanya tahu jenis mata wang

IJAB DAN QABUL

Tidak terpisah antara waktu ijab dan qabul

Lafaz qabul bertepatan dengan lafaz ijab

tidak diselangi dgn perkataan lain

tidak ditaklikkan dengan syarat atau tempoh tertentu


KHIYAR

Khiyar dari segi bahasa : Pilihan

Dari Itilah Syara’ : Kedua-dua belah pihak yang telah melakukan akad diberi pilihan dan berhak untuk meneruskan atau menarik balik akad jual beli tersebut.

Jenis-jenis Khiyar

Khiyar Majlis

Kedua-dua yang berakad berhak menarik balik akad jualbeli tersebut, walaupun akad tersebut telah sempurna, dipersetuji dan disahkan dengan syarat ia masih berada dalam majlis dan ,mereka masih belum berpisah

Khiyar Syarat

Apabila salah-satu pihak atau kedua-dua pihak menetapkan syarat bahawa dia mempunyai hak untuk membatalkan akad dalam tempoh yang tertentu. Syarat tersebut boleh dnyatan ketika memeterai akad atau selepas daripada itu tetapi mestilah sebelum mereka berpisah dari majlis tersebut

Syarat sah khiyar syarat

Terhad kepada tempoh tertentu

Tempoh yang ditetapkan tidak lebih tiga hari

Tempoh mesti berturutan dan bersambung dengan akad

Khiyar Aib

Apabila akad jual beli telah dimeterai dan pembeli telah memperolehi barangan yang dijual tanpa mengetahui sebarang kecacatan pada barangan tersebut kemudian baru disedari kewujudan kerosakan /kecacatan barangan tersebut, maka pembeli diberikan pilihan samada merelakan kecacatan tersebut atau memulangkan kembali barangan tersebut kepada penjual dan mengambil semula bayaran yang telah dibuat.

JUAL BELI YANG DILARANG DAN TIDAK SAH

Menjual buah-buahan yang belum masak atau bulu haiwan yang masih belum diketam dan susu yang masih belum diperah

Jual beli yang mengandungi unsur perjudian

Jualan Munabazah ( campak mencampak )

Jualan Mulamasah ( sentuh – menyentuh )

JUAL BELI YANG DILARANG DAN TIDAK SAH

  • Jual beli benda Haram
  • barangan tidak dimiliki dgn sempurna spt jual burung di udara
  • Kontrak dua dalam satu
  • Jual beli cengkeram (Urbun )
  • Jual hutang dengan hutang
  • Menjual barangan sebelum diterima.
  • Jual beli yang berunsur Riba

JUAL BELI DILARANG TETAPI SAH

  1. Beli barang dgn tujuan menyekat org lain membeli barang tersebut
  2. Membeli barang yg sedang dibeli org lain
  3. Menyekat penjual yang sedang dlm perjalanan dgn tujuan utk membeli dgn harga murah
  4. Monopoli dalam jual beli
  5. Jual beli barang yg halal tetapi digunakan utk maksiat
  6. Melakukan penipuan
  7. Mengurangkan sukatan dan timbangan

PERLAKSANAAN SISTEM KEWANGAN ISLAM

Pengenalan

Sistem Kewangan Islam telah pun digariskan dalam al-Quran dan sunnah zaman Nabi Muhammad iaitu lebih 1400 tahun yang lalu. Dengan dikatakan bahawa Dasar Sistem Kewangan Islam digubal berasaskan nilai falsafah. Pada asasnya konsep-konsep Islam iaitu Tauhid (mengesakan Tuhan), Iman (beriman kepada Tuhan), Akidah (percaya kepada ajaran dan hukum-hukum), Taa’bbud (mengabdikan diri kepada tuhan) dan Takwa( bertakwa kepada tuhan).


Latar Belakang Sistem Kewangan Islam

Sistem kewangan Islam telah dibentuk dengan beransur-ansur semenjak zaman Rasulullah s.a.w. Hanya pada zaman Sayyidina Umar Al-Hhattab (r.a.) barulah agak jelas terbentuk sistem kewangan Islam ini. Setelah itu dari semasa ke semasa sistem ini telah diperbaiki dan diperkembangkan. Pada prinsipnya, sistem kewangan pada masa itu masih lagi tertumpu kepada sektor kerajaan atau sektor awam sahaja dan berpusatkan kepada perbendaharaan negara iaitu Baitul Mal.


Di sektor swasta pula hampir tidak ada institusi tertemtu yang berperanan mengumpulkan modal dari ahli masyarakat untuk kegunaan masyarakat di sektor-sektor yang perlu. Apa yang berlaku berlaku ialah pengumpulan modal berlaku di kalangan orang yang ada kepentingan bersama sahaja. Iaitu orang yang ingin melakukan mudharabah atau musyarakah akan mewujudkan pakatan di kalangan sendiri bagi tujuan mudharabah atau musyarakah. Begitu juga pembentukan takaful di kalangan pedagang-pedagang antarabangsa. Mereka yang menjalankan perdagangan antarabangsa secara besar-besaran melalui lautan sering menemui kemalangan di tengah-tengah lautan yang amat merugikan. Lantaran mereka membentuk sistem takaful antara mereka supaya jika berlaku sebarang kemalangan ahli-ahli takaful tadi akan membayar ganti rugi ahli yang malang tadi.

Walaupun demikian , dapat juga kita rumuskan bahawa perkara penting dalam sistem kewangan Islam melalui amalan pada masa silam dan juga daripada sumber al-Qur’an dan al-Sunnah.

  1. Tujuan Sistem Kewangan Islam

Sistem kewangan Islam dibentuk atas prinsip-prinsip yang berlandaskan Syari’at Islam dan bertujuan mencapai perkara-perkara berikut:-

a. mengumpulkan modal yang mencukupi untuk pengeluaran,

penggunaan dan penukaran.

b. mengagihkan modal kepada sektor-sektor yang benar-benar memerlukan dan boleh membawa faedah kepada masyarakat keseluruhannya.

c. menentukan kestabilan harga

d. menentukan keadaan ekonomi yang makmor dan bersih dari

segala kesempitan dharuri di peringkat individu.

e. mewujudkan keadilan dan ihsan.


  1. Ciri-ciri Sistem Kewangan Islam

Untuk mencapai tujuan-tujuan kewangan Islam, Sistem kewangan Islam haruslah berlandaskan ciri-ciri berikut:

a. sifat tolong-menolong antara satu sama lain dan bukan persaingan yang sengit

b. kegiatan yang dilakukan mestilah disertai dengan persetujuan bersama

c. kegiatannya hendaklah disertai dengan sifat yang digalakkan oleh Islam seperti qana’ah (kesederhanaan), ikhlas, benar, bertimbang rasa dan lain-lain.

d. bebas dari segala larangan termasuk riba, gharar, ikhtikar, penindasan, penipuan, pembaziran dan sebagainya.


Prisip-prinsip Asas Sistem Kewangan Islam

Ada beberapa prinsip yang amat releven dan menjadi asas penting bagi Pembentukan sistem kewangan yang benar-benar berlandaskan syariat Islam.

  1. Tauhid

Sama seperti hal-hal lain, sistem kewangan juga memerlukan individu yang bertauhid. Tauhid sebenarnya menguatkan aqidah dan menyedarkan manusia itu terhadap dirinya, penciptanya, hubungan antara dirinya dan tuhannya, dan hubungan antara manusia dengan manusia lainnya.

Hanya dengan Tauhid yang kukuh barulah seseorang itu sedar tanggungjawab terhadap dirinya dan terhadap tuhannya(Hablum Minallah). Dengan sendirinya ia akan sedar bahawa ia bertanggungjawab dan akan disoal diatas segala aktivitinya.

Perhubungan manusia dengan manusia lain (hablum Minan nas) akan menjadikan manusia itu sentiasa berwaspada dengan gerak gerinya supaya tidak menyakiti orang lain dalam apa jua bentuk sekalipun.

Maka Tauhid sebenarnya akan menjadi satu daya yang terbit dari dalam (inherent) dan tidak memerlukan perlaksanaan hukum ke peringkat maksimam. Hal ini amat penting kerana amat sukar sekali untuk memastikan bahawa setiap akan sentiasa mematuhi segala undang-undang tanpa satu daya dari dalam yang sentiasa mengingatkanya bahawa perkarayang hendak dibuat itu adalah salah.


  1. Konsep Harta

Harta kekayaan dalam Islam perlu difahamkan dari dua segi iaitu satu dari segi pemilikan dan satu lagi dari segi kepentingan. Seperti yang sedia maklum, harta kekayaan itu adalah hak Allah s.w.t. dan manusia ini telah dicipta oleh Allah s.w.t. sebagai pemegang amanah kepada harta tersebut. Pemilikan manusia terhadap harta tersebut adalah tidak mutlak. Sekiranya pemilikan harta oleh manusia ini adalah mutlak maka manusia tidak lagi perlu mengumpulkan atau menggunakan harta mengikut cara yang ditetapkan oleh syariat Islam.

Sebaliknya manusia sebagai pemegang amanah kepada harta Allah tidak dapat lari dari menurut segala perintah Allah dalam mengumpul dan menggunakan harta. Harta yang dikumpul hendaklah dengan cara yang halal. Begitu juga penggunaannya henndaklah dengan cara yang halal dan boleh menimbulkan faedah kepada dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan juga negaranya. Seseoranf Individu itu tidak boleh berbuat apa ia suk, iaitu tidak boleh membazir atau membekukan wang tanpa dilaburkan. Ia juga tidak dibenarkan menggunakan kepada perkara-perkara bersubahat dan haram. Setiap unit harta yang digunakan atau dikumpulkan itu menjadi tanggungjawabnya sehingga di akhirat. Ia akan dipersoalkan jika ia mensia-siakan harta tersebut.

Islam juga memandang harta benda sebagai suatu faktor yang amat penting terutama dalam menambahkan kekayaan. Islam mengiktiaraf harta sebagai faktor yang amat penting kerana ia boleh menambahkan kekayaan tanpa harta mengalami susutan seperti berikut. Contohnya

a. Islam menggalakkan waqf kepada ummatnya yang berharta. Institusi waqf ini antara lain menunjukkan bahawa harta waqf itu tidak boleh dihabiskan, tetapi ia hendaklah dilaburkan dan Cuma hasilnya di gunakan.

b. Islam Mengecam keras terhadap mereka yang menyimpan harta tanpa dilaburkan: (al-Quran : Surah al-Humazah, ayat 2-3) yang bermaksud

“Kecelakaan bagi...... mereka yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung; mengira;bahawa harta itu dapat mengekalnya.”

Ini merupakan satu lagi bukti bahawa harta itu harus dilaburkan supaya tidak kehabisan bila digunakan.


  1. Konsep Tolong menolong

Islam menetapkan bahawa setiap Muslim itu adalah bersaudara dan jika salah seorang dari saudara kita merasa sakit atau dalam kesusahan maka selurut masyarakat Islam itu akan merasai sakit juga. Bertolak daripada konsep ini sebenarnya wujud pula satu lagi konsep yang amat penting iaitu orang-orang Islam harus bertolong-tolongan antara satu sama lain. Prinsip ini sebenarnya amat penting dan harus sentiasa diamalkan, manusia Islam tidaklah sepatutnya bersaingan dan berlumba-lumba dalam segala perkara tanpa tujuan yang jelas dan tertentu. Persaingan yang sihat sememangnya digalakkan, tetapi persaingan yang sengit dalam mengumpul harta sehingga boleh membawa kepada keburukan seperti pembunuhan, kecurian, perompakan, penipuan dan kegiatan yang telah diharamkan dalam Islam. Atas dasar inilah prinsip tolong menolong amat penting sekali.


Pendekatan Pelaksanaan Sistem Kewangan Islam Di Malaysia

Sistem ekonomi Malaysia merupakan sistem ekonomi Campuran antara kapitalis dan sosialis iaitu pada dasarnya berteraskan prnsip pasaran bebas dengan campurtangan kerajaan dalam bidang tertentu. Maka sistem kewangan yang wujud di Malaysia adalah berteraskan kepada riba atau faedah yang menjadi penentu kepada jumlah permintaan dan penawaran wang. Instuisi-instuisi kewangan bank dan bukan bank juga melaksanakan dua tugas utama iaitu kemudahan meminjam dan kemudahan menabung. Kedua-dua ini berdasarkan kepada kadar faedah. Faedah menjadi menjadi harga.

Dalam membentuk mekanisme dan produk dalam sistem kewangan Islam di Malaysia, perkara yang diutamakan ialah isiroh dan nilai-nilai Islam dan bukannya hanya memastikan bentuk produk itu tidak mengandungi unsur riba sahaja.Perlaksanaan sistem kewangan Islam di Malaysia dilaksanakan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat seperti menarik rambut daripada tepung, rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak. Ini adalah disebabkan malaysia mempunyai berbagai-bagai agama. Masyarakat bukan Islam harus yakin tentang kelebihan dan kekuatan sistem kewangan Islam dibandingkan dengan konvensional.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjadikan Islam sebagai agama resmi dalam keadaan masyarakat majmuk yang hampir genting nisbahnya terutama dari segi politik. Oleh yang demikian , pihak kerajaan dari mulanya telah berwaspada dan tidak pernah terburu-buru dalam melaksanakan apa jua perkara yang berkaitan dengan Islam. Kerajaan malaysia telahpun melayani kehendak orang-orang Islam sejakl awal-awal lagi. Contohnya mendirikan surau dan masjid dan telah menjadi satu program yang sangat pesat dilaksanakan terutama 15 tahun pertama selepas merdeka. Keadaan ini telah berkembang sehgingga wujud satu Jawatankuasa Penasihat kepada YAB Perdana Menteri mengenai penerapan nilai-nilai Islam.

Jawatankuasa ini digelar badan Perunding Islam (BPI) yang dianggotai oleh pada cendikiawan Islam dari berbagai bidang. Melalui badan Perunding Islam dan kumpulan lain , dua institusi kewangan Islam iaitu Bank Islam malaysia dan Syarikat takaful Malaysia sendirian Berhad telahpun diwujudkan masing-masing pada tahun 1983 dan 1985.

Dalam membina sistem kewangan Islam, kita hendaklah mendekati tujuan ini dengan mempercayai dan berusaha melaksanakan sumua hukum-hukum muamalah kewangan Islam yang berkaitan dengan jiwa yang penuh taa’bud dan takwa. Apa sahaja bentuk sistem kewangan yang lahir dengan berlandaskan kepada hukum-hukum Islam maka ia dikemali sebagai sistem kewangan Islam.


Dalam membentuk mekanisme dan produk dalam sistem kewangan Islam di Malaysia, perkara yang diutamakan ialah isi roh serta nilai-nilai Islam dan bukanya hanya untuk memastikan bentuk produk itu tidak mengandungi unsur riba.


Pelbagai pengaruh budaya mewarnai kemunculan tamadun Islam-Arab,Yunani, Budaya Semitik, Sasaniah Iran dan India. Kehebatan umat Islam generasi itu dilahirkan daripada daripada keupayaan mereka mengadun pengaruh-pengaruh ini ke dalam satu cara hidup serta kebolehan mereka menyesuaikannya dengan perkembangan zaman Islamiah yang memulakan proses intergrasi dan pada masa yang sama memberi dorangan, keazaman serta kuasa untuk mempertahankannya.


Perkembangan Islam yang pesat di waktu itu membawa satu tata baru untuk dunia yang menjangkau dari Pergunungan Pyrenees di Eropah hingga ke Pergunungan Himalaya di benua India. Islam telah melahirkan satu empayar yang lebih besar dari Rom di zaman keagungannya ini disusuli dengan pengusaan politik berserta dengan kemakmuran yang melimpah dalam bidang sosial dan budaya. Umat Islam di zaman itu melangkah dengan gagahnya ke setiap pelosok bumi dengan membawa bersama-sama mereka tamadun kecemerlangan Islam. Inspirasi dan sumber tamadun Islam dibina di atas wahyu Ilahi, iaitu al-Quran dan disempurnakan menerusi sunnah Nabi Muhammad s.a.w.


Kandungan dan fitrah sumber-sumber agung ini telah melahirkan panduan yang sempurna kepada tindakan, tafsiran, kefahaman,dan hujah yang menyebabkan Islam diterima sebagai satu tamadun yang berilmu. Pemikiran ini yang menetapkan hukum demi hukum untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dengan cara bijaksana dan adil. Pemusatan kepada kehidupan Islam yang lengkap ialah Syariat Islam yang terdiri daripada hukum hakam Islam. Syariat ini mengatur segala urusan hidup dari ibadah sembahyang hinggalah kepada hak-hak harta.


Kedudukan umat Islam hari ini tidak lagi mencerminkan langsung ketamadunan islam yang pernah menentukan arah aliran hidup manusia pada satu masa dahulu. Tamadun Islam yang wujud pada hari ini tidak lagi dalam bentuk yang hidup, dinamis dan berkembang maju. Setelah melalui zaman kemerosotan berabad lamanya, umat Islam pada pada hari ini sedang berusaha membina tamadun Islam. Mewujudkan sistem kewangan Islam adalah sebahagian dariapada usahanya.


Walau bagaimanapun seperti yang dikatakan oleh John Esposito , inilah bukan pertama kali umat Islam cuba bangun semula selepas kejatuhan. Walaupun pembaharuan Islam moden biasanya digambarkan sebagai satu tindak balas kepada cabaran dunia Barat.


Hari ini masyarakat Islam di seluruh dunia telah mula mengamalkan sikap terbuka berhubung dengan bidang mazhab .Sungguhpun kita bersikap terbuka dalam masalah mazhab, sikap ini tidak menular dalam bidang-bidang lain. Kita masih belum lagi berani untuk menerima perubahan dan inovasi sebagai ciri tetap dalam kehidupan kita. Dalam sistem kewangan sebagaimana bidang-bidang lain dalam Islam kita mesti sanggup terima perubahan. Jadi adalah tidak wajar jika melaksanakan sistem kewangan Islam dengan menolak keseluruhan sistem konvensional yang telahpun diamalkan. Tindakan sebegini adalah tidak realistik dan terlalu bercita-cita tinggi.


Kini telah wujud sistem kewangan yang canggih yang diamalkan di negara-negara maju, inovasi berlaku hampir setiap hari. Jadi ini memudahkan menggunakan institusi dan instrumen yang telah wujud dalam sistem konvensional dalam melaksanakan sistem kewangan Islam.


Tujuan Sistem Kewangan Islam Dilaksanakan Di Malaysia


Sistem kewangan kini mempunyai empat perkara yang harus diIslamkan

i) Amalan Riba

ii) Pasaran wang, pasaran modal dan pasaran saham

iii) Amalan agen-agen atau mereka yang mengambil bahagian dalam institusi kewangan yang tidak selaras dengan syariat Islam

iv) Undang-undang yang telah digubal yang mungkin sesuai untuk sistem kewangan sekarang, tetapi memerlukan pindaan atau penggubalan baru supaya sesuai dengan kehendak Islam


Tujuan utama sistem kewangan ialah menentukan supaya modal dalam bentuk kewangan dan harta dapat digerakkan dengan cara yang cekap supaya jumlah yang diperlukan untuk pelaburan atau penggunaan akan sentiasa dapat disediakan memalui tabungan. Secara ringkasnya supaya tidak timbul kekurangan dan kelebihan yang keterlaluan sehingga menyebabkan suatu keadaan yang tidak stabil. Tujuan ini agak terhad sekali. Ia hanya menumpukan kepada jumlah penawaran dan permintaan wang yang seimbang. Dari segi di mana dan untuk apa wang itu digunakan, tidak ada kawalan rapi.


Cara Pelaksanaan Sistem Kewangan Islam di Malaysia dibentuk :-

  • Mewujudkan satu sistem kewangan yang menggalakkan pengeluaran bukan sahaja di kalangan mereka yang berharta (modal) tetapi juga dikalangan mereka yang berkemahiran dan keupayaan
  • Bilangan yang memiliki harta akan meningkat setiap masa kerana mereka yang tidak berharta akan dapat mengumpulkan harta melalui mudharabah
  • Harta itu akan sentiasa berkembang dan diagihkan kepada yang ingin berusaha
  • Pembiayaan sesuatu perusahaan itu tidak akan dilakukan kecuali modal yang digunakan terdedah kepada risiko yang sama. Hal ini akan menambah kecekapan dalam melaksanakan projek, mengurangkan spekulasi dan lain-lain, supaya dapat menjamin kadar keuntungan yang tinggi. Dalam hal ini juga inflasi yang disebabkan oleh tolakan kos yang berasal daripada riba tidak ada.

Islam menuntut supaya pengusaha mahupun mereka yang berharta bersifat amanah, ikhlas, adil, ihsan, menepati janji, benardan sebagainya dalam menguruskan harta. Sifat Berakhlak sangat penting untuk kejayaan seseorang itu.

Di Malaysia, kerajaan sedang mengamalkan dasar penswastaan . Dasar ini memberi peluang kepada hanya segelintir manusia untuk memiliki suatu syarikat yang besar, yang asalnya adalah Jabatan Kerajaan. Mudharabah adalah satu prinsip yang berdasarkan penyertaan orang-orang yang bermodal dengan orang-orang yang mempunyai kepakaran untuk sesuatu perusahaan supaya keuntungan yang terhasil dapat dinikmati bersama. Atas dasar ini, orang-orang awam boleh dipelawa untuk membeli syer-syer kerajaan atau syarikat mengikut kemampuan masing-masing. Pembelian syer ini akan menjadikan pembeli tadi menjadi pemilik bersama yang akan menerima keuntungan setiap tahun.


Dalam hal ini pembeli syer ini tidak terlibat dalam amalan riba tetapi akan diberi bahagian untung sahaja. Perkara boleh diusahakan untuk kesemua projek (kerajaan mahupun swasta) yang menghasilkan keuntungan. Misalnya penjualan saham Telekom, Pembinaan Lebuh Raya dan Syarikat Penerbangan Malaysia adalah merupakan satu cara yang diharuskan oleh Islam


Undang-Undang Sesuai Untuk Sistem Kewangan Islam

Antara undang-undang yang diperlukan termasuklah undang-undang untuk kegiatan bank Islam dan institusi kewangan lain yang harus dibenarkan menceburi pelaburan secara langsung. Hal jelas telah disesuaikan untuk Bank Islam Malaysia Bhd dan juga untuk Syarikat Takaful Malaysia Sendirian Berhad. Pertubuhan Syarikat Kewangan Islam yang memberikan perkhidmatan yang hampir serupa dengan syarikat kewangan yang ada, maka pindaan-pindaan juga perlu dibuat ke atas Hire Purchase Act dan sebagainya


Pelaksanaan kewangan Islam Di Institusi Kewangan Malaysia

Ada beberapa intitusi perbankan dan luar sistem perbankan memainkan peranan penting dalam memperkembangkan sistem kewangan Islam di Malaysia. Antaranya adalah seperti berikut:-

  1. Lembaga Urusan Tabung Haji
  2. Sistem Pembankan
  3. Syarikat Takaful Atau Insurans Islam
  4. Sijil Pelaburan kerajaan
  5. Instuisi Amal Jariah
  6. Institusi Pajak Gadai Islam (AL Rahn)
  7. Institusi Zakat
  8. Institusi Wakaf
  9. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM)
  10. Amanah Ikhtiar Malaysia

1. Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH)

LUTH merupakan satu instuisi kewangan Islam yang ditubuhkan pada tahun 1969 dari kesedaran dan cadangan Profesor Di Raja Ungku Aziz untuk menggalak dan mengumpul tabungan yang ingin menunaikan haji. Segala urusan sehubungan hasil daripada simpanan ahli-ahlinya ditadbirkan mengikut hukum-hukum syariah. Ia mambantu orang-orang islam mengumpul dana untuk pelaburan yang halal dari segi Islam. Ahli-ahlinya akan dibayar dividen

Peranan yang dimainkan oleh LUTH pada masa kini

  • Menjaga kebajikan orang-orang Islam yang menunaikan fardhu haji
  • Menolong orang-orang Islam mengumpul dana untuk pelaburan yang halal

Tabung Haji juga telah bergiat aktif dalam projek-projek pembangunan infrastruktur negara. Adalah menjadi satu kebanggaan kepada ummah sekiranya Tabung Haji dapat memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi dan dengan itu menyumbang ke arah pembentukan dan pengukuhan kemahiran teknologi Malaysia.

Kejayaan Tabung Haji sesungguhnya telah membuktikan bahawa urusniaga yang berasaskan prinsip-prinsip Islam boleh mencapai kejayaan setanding atau yang lebih baik berbanding dengan syarikat syarikat yang berurus niaga atas prinsip-prinsip kewangan konvensional.


2. Pembankan Islam

Pelaksanaan sistem Kewangan Islam adalah meluas dalam bidang pembankan telah lahir lahir atas kesedaran dan permintaan masyrakat kepada sesuatu sistem kewangan yang bebas dari riba Pada awal tahun 1970 Malaysia telah mengadakan perbincangan konsep perbankan secara Islam. Tabung Haji telah ditubuhkan untuk mengendalikan urusan penyimpanan dan pengendalian umat Islam mengerjakan haji tetapi tidak terlibat dengan pembankan Islam secara khusus. Selepas beberapa pebincangan dan perundingan pihak kerajaan telah telah mewujudkan satu jawatankuasa yang baru pada tahun 1982 dan satu akta baru telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun yang sama iaitu Akta Bank Islam 1982 dan inilah yang menyebabkan kelahiran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun 1983. Pada tahun 1993 pula, pindaan kepada Akta Bank dan Instuisi Kewangan telah dibuat di mana Institusi kewangan Konvensional menawarkan pembankan Islam (PI).


Secara asasnya instuisi perbankan sebagai institusi yang terkawal akan menjalankan aktiviti-aktiviiti seperti berikut:

  • Memenuhi keperluan Rezab berkanun dan keperluan kecairan
  • Aktiviti pembiayaan
  • Aktiviti Pembiayaan Perdagangan
  • Pelaburan
  • Fungsi Perbendaharaan
  • Fungsi sosial

Aktiviti diatas tidak terkecuali kepada Pernbankan Islam. Perbezaan utama adalah bahawa semua operasi Perbankan Islam Tertakluk kepada Hukum-hukum Syarak.

Konsep Utama dalam Perbankan Islam

  1. Al- Wadiah yad Dhamanah 10. Bai’Al-Dayn
  2. Al-Mudharabah 11. Al-ijarah
  3. Al-Musyarakah 12. Al-Ijarah Thumma Al-Bai
  4. Al-Murahbahah 13. Bai’Salam
  5. Bai’ Bithhamin Ajil 14. Bai’Al-Istijrar
  6. 11. Al-Qarddhul Hasan 15. Al-Kafalah
  7. 13 Al- Wakalah 16. Al- Hiwalah
  8. Al-Sarf 17. Al-Hiba
  9. Al- Rahn 18. Al-Ujr

Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) merupakan bank Islam kedua yang ditubuhkan di Malaysia selepas BIMB. BMMB merupakan gabungan pembankan Islam dan daripada Bank Bumiputra Malaysia Berhad, kepada masyarakat. Ia memulakan operasinya pada 1 Oktober 1999 dan kini mempunyai 40 cawangan di seluruh Malaysia.

Bank Rakyat juga mula menggunakan produk pembankan Islam untuk menarik pelanggan-pelangan sahaja.Operasi perbankan Islam berkembang sejajar dengan pertumbuhan negara. Pada akhir Ogos 2000 selain BIMB dan BMMB terdapat 49 instuisi kewangan lain yang menawarkan produk pembankan Islam.


Takaful atau Insurans Islam

Takaful ialahsebuah anak syarikat Bank Islam memulakan operasinya dalam tahun 1985 sebagai syarikat insurans Islam yang pertama di Malaysia. Syarikat Takaful menjalankan aktivitinya mengikut prinsip takaful dan Mudharabah. Takaful merujuk kepada satu kumpulan peserta yang saling jamin-menjamin di antara satu sama lain, manakala Mudharabah pula adalah kontrak perniagaan yang melibatkan perjanjian perkongsian untung antara peserta dan pengusaha Takaful. Perbezaan antara Syarikat Takaful dan Syarikat-syarikat insurans konvensional adalah dari segi konsep penjaminan. Urusniaga Takaful hanya dibenarkan untuk melaburkan dana yang diterima daripada peserta dalam pasaran yang dibenarkan oleh syariah. Pelaksanaan skim Takaful adalah berdasarkan hukum syarak yang mengharamkan perkara-perkara berikut:-

  • Gharar (ketidakpastian atau kejadian yang tiada penjelasan berkenaan sesuatu perjanjian dan sumber )
  • Maisir (perjudian)
  • Riba (bunga atau faedah)

Dalam perkara penjaminan, yang menjamin peserta-peserta Takaful bukanlah Syarikat Takaful tetapi adalah peserta-peserta itu sendiri. Segala bayaran tuntutan dikeluarkan daripada tabung yang telah terkumpul. Syarikat Takaful berfungsi hanya sebagai pengusaha tabung wang peserta–peserta Takaful. Konsep ini berbeza dengan daripada insurans konvensional di mana syarikat insurans itu sendiri yang menjamin peserta-peserta insurans.


Jenis-jenis Perniagaan Takaful

Syarikat Takaful menyediakan dua jenis Perniagaan iaitu:

  • Perniagaan Takaful Keluarga- kematian dan kemalangan
  • Takaful Am- harta benda

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia(YPEIM)

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia(YPEIM) yang ditubuhkan pada 13 Oktober 1976 adalah sebuah instuisi yang ditugaskanuntuk meningkatkan taraf sosioekonomi, mengukuhkan tradisi keilmuan,memantapkan kebajikan ummah, membangunkan instuisi Islam dan membangunkan ekonomi umat Islam terutama golongan Islam

Sumber Dana

  • Kutipan sumbangan ke Tabung Kumpulan Amal Jariah
  • Keuntungan Pelaburan
  • Geran dan pinjaman mudah daripada kerajaan

Kegunaan dana

  • Skim Pembayaran Ikhtiar
  • Skim amanah Niaga Bandar
  • Skim Usahaniaga Perintis
  • Skim Peniaga Kecil berdaya maju
  • Skim Usahawan baru Muslim
  • Program Pembangunan Minda
  • Program Membangun Hartanah Wakaf
  • Program Penyebaran Risalah Islamiah

Institusi Zakat

Instuisi ini telah lama beroperasi di Malaysia .Operasinya bermula dengan tertubuhnya majlis Agama Islam di Kelantan pada 1915. Pada masa sekarang telah diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Agama Negeri-Negeri. Setiap Majlis agama Islam perlu membentuk satu jabatan R&D yang bertanggungjawab mengkaji, merancang dan membentuk satu bentuk pengurusan yang paling efisien.

Pusat Kajian Zakat Negara menyediakan data tentang zakatuntuk semua dalam bentuk yang telus. Instuisi zakat mesti memastikan bahawa pengagihan zakat akan berlaku sejajar dengan roh dengan maksud syariat Islam


Institusi Wakaf

Institusi ini mempunyai mempunyai potensi yang besar dalam memberi Impak positif kepada penyusunan dan pembangunan ekonomi ummah. Melalui mekanisme ini sektor swasta negara dapat digembeling untuk lebig berperanan mewakaf harta lebihan untuk membangunkan masyarakat umum.


Instuisi Amal Jariah

Ia merupakan instuisi yang terbit dari galakan Islam sendiri yang berlandaskan sedeqah dan amal jariyah. Misalnya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YPEIM). YPEIM telah di tubuhkan untuk melaksanakan usaha amal jariyah dengan cara yang mudah, teratur dan berkesan. Sumbangan kepada YPEIM boleh dibuat melalui skim potangan gaji, skim resit amal Jariah yang boleh dibeli di semua pejabat cawangan Bank Islam Malaysia Berhad, Lembaga Urusan Dan Tabung Haji dan Pejabat Pos dan melalui sumbangan secara langsung kepa YPEIM

Lima puluh peratus daripada sumbangan yang diterima oleh YPEIM diagihkan kepada masyarakat yang amat memerlukan dalam bidang ibadat, pendidikan ilmu, kebajikan awam dan pembangunan ekonomi. Lima puluh peratus lagi dilaburkan untuk mendapat keuntungan dan pengumpulan harta. Dari keuntungan ini juga lima puluh peratus dijariyahkan dan bakinya dilabur semula. Denganini didapati bahawa YPEIM bukan sahaja satu instuisi amal jariyah tetapi juga adalah satu instuisi kewangan.


Instuisi Pajak gadai Islam (AL- RAHN)

Instuisi gadaian contohnya pajak gadai adalah instuisi yang bergiat semata-mata memberikan pinjaman (hutang ) kepada orang ramai, terutanya pelanggan yang mengalami kesesakan wang. Pajak gadai bukan instuisi yang bertujuan mengaut keuntungan daripada kesempitan wang yang diambil oleh pelanggan.Ia juga merupakan pinjaman jangka pendek yang paling popular di Malaysia terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil.


Dalam hal ini pelanggan dikehendaki menyediakan cagaran berserta bayaran perkhidmatan daripada hutang yang diperolehi. Pelanggan yang tidak mampu memulangkan semula wang hutangnya akan diberi perningatan dan masa tambahan. Jika pelanggan ini masih gagal, maka cagaran ini akan dijual.Wang jualannya digunakan bagi membayar hutang bersama-sama kos perkhidmatan dan bakinya dipulangkan kepada pelanggan.


Menurut Buku Pengantar Pengajian Islam didapati bahawa kebanyakan pelanggan Al-Rahn adalah peniaga 33%, pengusaha sendiri 27%, Pegawai kerajaan 20%, Sui rumah 13% dan pelajar 7%. Al Rahn sebagai skim pembiayaan jangka pendek, terutamanya dimanfaatkan oleh peniaga dan pengusaha sendiri bagi tujuan modal pusingan masing-masing.


Pasaran wang antara Bank secara Islam

Bank negara telah memperkenalkan pasaran wang antara bank secara Islam mulai 3 Januari 1994. Pasaran wang antara bank melibatkan aspek-aspek berikut:

a) Urusniaga dalam alat-alat kewangan Islam antara bank

b) Pelaburan antara bank secara Islam

c) Sistem penjelasan cek antara bank secara Islam


Pelaburan Antara bank secara Islam

Pelaburan antara bank secara Islam merujuk kepada satu mekanisme dimana sebuah bank yang mempunyai lebihan wang boleh melabur dengan bank-bank yang mengalami defisit di atas dasar al-mudharabahah (pembahagian untung).


Urusniaga Dalam Instrumen Kewangan Islam

Bank Negara Malaysia dan semua instuisi-instuisi kewangan Skim Pembankan Tanpa Faedah


Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)

Amanah Ikhtiar Malaysia pula ditubuhkan pada tahun 1987 dibawah akta amanah 1952. Objektif AIM ialah untuk mengurangkan isirumah termiskin di dalam negara melalui pinjaman yang mudah digunakan sebagai modal untuk kegiatan ekonomi. Disamping itu, AIM berharap untuk mendidik golongan termiskin supaya berwawasan dan mempunyai sikap bertanggungjawab melalui penglibatan yang aktif da dalam program AIM yang diwajibkan.

Aktiviti AIM adalah seperti berikut:

Sumber Dana

  • YPEIM
  • Geran dari kerajaan
  • Pinjaman Bank

Kegunaan dana

  • Pinjaman Modal Ikhtiar
  • Pinjaman Khas Perumahan
  • Pinjaman Khas Pendidikan
  • Pembangunan Usahawan

Pengenalan Kaunter Syariah di BSKL juga diwujudkan bagi memudahkan umat Islam menceburu bidang pelaburan yang halal dari segi pandangan Syarak. Ia adalah suatu tempat di yang dikhususkan bagi urusan mengenai penentuan status sesebuah sekuriti syarikat sama ada diluluskan oleh majlis syariah atau tidak. Kaunter Syariah Di BSKL di tubuhkannpada bullan Mei 1996. Kaunter Syariah ini diletakkan di bawah pengurusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Suruhanjaya Sekuriti.


Matlamat Penubuhan

Pada asasnya terdapat beberapa objektif penubuhan kaunter Syariah di BSKL. Antaranya ialah:

  1. Membawa kecemerlangan kepada masyarakat bumiputera melalui pelaburan yang berteraskan ketekapan syariah di samping memberikan pulangan yang stabil dalam bentuk dividen dan peningkatan nilai modal dengan risiko yang wajar.
  2. Menjadi tempat rujukan dan panduan kepada masyarakat Islam mengumpul dan melaburkan wang mereka dalam sekuriti-sekuriti di BSKL yang tidak melibatkan unsur-unsur faedah.
  3. Sebagai penghubung di antara kerajaan dan masyarakat dalam menyalurkan sumber kekayaan negeri dan negarakepada masyarakat supaya lebih adil dan saksama.

Kesimpulannya

Pelaksanaan prinsip-prinsip Islam dalam sistem kewangan harus dijalankan secara berperingkat, iaitu setiap langkah hanya diambil setelah kajian telitu disempurnakan dengan mengambil kira faktor-faktor berkaitan, khususnya pertimbangan daya maju. Dalam memperkembangkan sistem kewangan Islam di Malaysia adalah penting institusi-institusi di pinggir sistem perbankan dan sistem pasaran modal juga beroperasi atas lunas-lunas Islam. Ini menunjukkan satu perkembangan terhadap pelaksanaan sistem kewangan Islam di Malaysia. Keadaan ini boleh lebih mantap apabila masyarakat bukan Islam lebih menyakini sistem kewangan Islam dibandingkan dengan sistem konvensional.


RUJUKAN

Nik Mustapha Nik Hassan, 2002. Ekonomi Islam dan Pelaksanaannya Di Malaysia.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Nor Mohamed Yakcop,1996. Teori,Amalan dan Prospek Sistem Kewangan Islam Di Malaysia. Selangor: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd

Mat hassan Abu Bakar ,2003. Apa Itu Ekonomi Islam PTS Publication & Distributors Sdn Bhd

Syed Mohd. Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, 2002. Pengantar Perniagaan Islam Prentice Hall Peorson Malaysia Sdn Bhd

Dr Sobri Saloman,1992. Perniagaan Menurut Pandangan Islam . Bahagian Hal Ehwal Islam JPM

Syed othman Alhabshi, 1990. Islam, Ekonomi dan Pengurusan. Penerbitan Hizbi

Adnan Alias Mohamed Dahlan Ibrahim, 2002. Keusahawanan Malaysia Keusahawanan Islam Prentice Hall Pearson Education