Monday, March 29, 2010

RIBA: PENGERTIAN DAN KESANNYA KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

PENGENALAN


Apabila memperkatakan tentang perniagaan secara Islam, salah satu elemen yang perlu kita perhatikan ialah riba. Walaupun Allah mengharamkan riba sebagaimana arak atau judi diharamkan, ia masih kurang diberi perhatian oleh kebanyakan orang Islam. Masih terdapat di antara mereka yang menganggap ia sebagai isu yang remeh dan tidak perlu diberi perhatian yang berat seperti dosa-dosa besar yang lain. Kurangnya pemahaman tentang takrifan dan hikmah pengharaman riba menyebabkan ianya dipandang sebelah mata sahaja oleh orang Islam sendiri.

Pada masa sekarang, riba merupakan sinonim dengan ‘interest’ atau faedah yang diamalkan oleh institusi kewangan konvensional. Amalan riba oleh bank dilakukan apabila bank membayar faedah kepada penyimpan dan mengenakan bunga kepada peminjam di mana perbezaan antara kedua-duanya merupakan keuntungan kepada bank.


SEJARAH RIBA


Amalan pengambilan riba bermula sejak tahun 3000 Sebelum Masihi semasa tamadun Sumerian lagi. Pada zaman itu wujud sistem kredit yang sistematik di mana pinjaman berasaskan gandum adalah berdasarkan kuantiti dan pinjaman logam perak berdasarkan berat. Pinjaman berasaskan gandum dikenakan kadar faedah 33.33% setahun manakala pinjaman untuk perak adalah 20% setahun.




Pada zaman Babylon pula iaitu sekitar 1900-732 Sebelum Masihi Raja Hammurabi (kira-kira 1800 Sebelum Masihi) telah memperkenalkan satu peraturan dikenali sebagai Code of Hammurabi yang mengiktiraf kadar faedah dan menjadikannya kadar yang sah di sisi undang-undang Babylonian dan digunapakai hampir 1200 tahun lamanya. (Homer 1977).

Amalan mengambil faedah ini berterusan pada zaman Assyrian (732-625 Sebelum Masihi), Neo-Babylonian (625-539 Sebelum Masihi), Parsi (539-333 sebelum Masihi), Yunani (500-100 Sebelum Masihi) dan Romawi (500- 90 Sebelum Masihi). Bermula kurun ketiga Masihi iaitu pada zaman Permulaan Kristian amalan pengambilan faedah ini mendapat tentangan daripada pihak gereja dan paderi-paderi. Selain daripada itu, terdapat juga bukti-bukti yang menunjukkan bahawa pinjaman yang dikeluarkan pada zaman pemerintahan beraja di negara-negara Eropah adalah juga berdasarkan faedah
( Homer, 1977).

Pengambilan faedah juga diharamkan di England beberapa abad yang lalu. Salah satu sebab kaum Yahudi dihalau daripada England adalah kerana isu pengambilan faedah kerana mereka mengenakan faedah yang terlalu tinggi. Hanya pada tahun 1545, pengambilan faedah ini dibolehkan di England di mana Akta 1545 digubal bagi memastikan pengambilan faedah yang tidak terlalu tinggi dan telah ditetapkan pada kadar 10% setahun.

Riba mula dikaitkan dengan perbankan pada era medieval dan dilakukan oleh saudagar emas. Saudagar emas membenarkan orang ramai menyimpan emas dan perak dengan mereka dan mengenakan bayaran. Mereka kemudiannya mengeluarkan resit kepada penyimpan untuk menunjukkan emas dan perak yang disimpan oleh mereka. Resit ini boleh digunakan untuk menuntut barangan tersebut pada bila-bila masa. Bagaimanapun apabila keyakinan orang ramai mula tinggi kepada saudagar emas, sesetengah daripada mereka menggunakan resit tersebut sebagai perantara pertukaran bayaran tanpa menebus barangan mereka setiap kali membuat bayaran. Perlahan-lahan resit diterima sebagai wang dan duit emas dan perak menjadi simapanan atau rezab bagi resit tersebut. Selepas beberapa ketika, saudagar emas mula sedar bahawa orang ramai menyimpan wang lebihan di dalam bank dan menggunakan resit sebagai bayaran kepada orang lain. Saudagar emas yang kemudiannya menjadi pemilik bank setelah memerhatikan paten ini sekian lama, mula mengeluarkan resit tambahan dan memberikannya sebagai pinjaman kepada pelanggan yang memerlukan. Pelanggan kemudiannya dikenakan bayaran sebagaimana mereka menyimpan emas dan perak.

Oleh itu, apabila bermulanya sejarah penubuhan dan perkembangan bank moden pada abad keenam belas, segala operasinya adalah berdasarkan faedah. Pemberian faedah sukar untuk dipisahkan daripada amalan system bank kerana ianya akan menyebabkan sistem bank tidak akan berjalan dan ekonomi tidak akan berkembng (Mannan, 1986).



TAKRIFAN RIBA

Ada tiga konsep yang berkaitan apabila kita memperkatakan tentang riba iaitu faedah, riba dan usury. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, faedah adalah wang yang dikenakan atau dibayar untuk penggunaan wang yang juga dikeanali sebagai bunga. Usury pula bermaksud mengenakan bunga atau faedah yang tinggi atau keterlaluan. Kamus Oxford edisi Kedua 1989 pula mendefinisikan faedah sebagai:

Money paid for the use of money lent (the principal), or for forbearance of a debt,
according to a fixed ratio ( rate percent).

Kamus ini juga memberi dua definisi kepada perkataan usury iaitu:
1) The fact or practice of lending money at interest: especially in later use, the practice of charging, taking, or contracting to receive, excessively or illegal rates of interest for money on loan.
2) Premium or interest on money (or goods) or received on loan; gain made by lending money.



Bagaimanapun, menurut The Barnhart Dictionary of Etymology, 1988, konsep interest berasal dari bahasa zaman pertengahan Latin yang bermaksud pampasan kerana kerugian atau bayaran pampasan. Di dalam undang-undang Romawi, menurut Divine (1959), interest atau dalam bahasa Latin id quod interest bermaksud pampasan yang diberikan akibat kerosakan atau kerugian yang ditanggung oleh sipemiutang akibat kegagalan sipeminjam untuk memulangkan semula pinjaman pada tarikh yang ditetapkan di dalam kontrak pinjaman. Noonan (1957) pula menyatakan interest dalam bahasa Latin ialah intero yang bermaksud sesuatu yang hilang. Daripada kedua-dua takrifan ini interest yang sebenarnya adalah kerugian atau kerosakan yang meliputi kehilangan keuntungan yang mungkin ditanggung oleh pemberi pinjaman melalui wang yang diberi pinjam itu (Homer, 1977).

Perkataan usury pula berasal daripada bahasa Latin iaitu usura dan usuria pada zaman pertengahan Latin (The Barnhart dictionary of Etymology, 1988). Di dalam bahasa Yunani , usury dikenali sebagai tokos yang bermaksud mengeluar atau menghasilkan. Oleh itu, usury meliputi apa saja caj atau bayaran dikenakan akibat meminjam sama ada baranngan atau wang, selagi ianya termasuk dalam kategori mutuum iaitu bentuk makanan atau wang yang diguna untuk dipakai seperti rumah, peralatan dan sebagainya. Selepas itu terdapat banyak lagi takrifan tentang usury ini dibuat.

Definisi pertama usury dikeluarkan pada zaman pertengahan (1000-1500) oleh kaum Nynweger yang memberi maksud usury sebagai “where more is asked than is given” (Noonan, 1957). Jadi di sini usury wujud apabila seseorang meminta lebih daripada yang dibernya dahulu. Pada zaman kesarjanaan Kristian, perbincangan hangat berlaku antara para sarjana dan ahli agama tentang konsep faedah dan usury di mana akhirnya pada tahun 1836 Pejabat Suci Agama Kristian mengeluarkan arahan membenarkan pengikutnya mengambil faedah . Faedah kemudiannya telah didefinisikan sebagai harga yang dinyatakan dalam bentuk peratus untuk pinjaman berbentuk wang atau ia dianggap sebagai premium kepada nilai wang masa kini untuk dibawa pada masa akan datang (Divine, 1959) dan dibenarkan dari segi undang-undang manakala usury adalah untuk kadar faedah yang berlebihan.

Dari sudut ekonomi pula, ahli-ahli ekonomi tidak ketinggalan memberikan maksud kepada perkataan faedah. Fisher (1954) dalam bukunya Theory of Interest sebagai contoh, medefinisikan faedah sebagai peratusan premium yang dibayar ke atas wang pada tarikh tertentu dalam bentuk wang yang perlu diserahkan kembali dalam tempoh stahun akan datang. Dalam bukunya The General Theory of Employment, Interest and Money, Maynard Keynes (1939) menakrifkan faedah sebagai hadiah kepada seseorang yang sanggup berpisah dengan wang tunainya. Ia juga berfungsi sebagai pengukur ketidaksanggupan seseorang yang mempunyai wang untuk berpisah dengan wang yang ada di dalam kawalannya.

Dalam bahasa Arab, riba bermaksud menambah (al-ziyada), mengembang (al-numuw), meningkat dan membesar (al-irtifa dan al-uluw) (Ahmad 1990). Ibnu Manzur (630 Hijrah – 711 Hijrah) di dalam kitabnya Lissanul Arab mengatakan umbi bagi perkataan riba adalah bertambah, oleh itu riba yang melibatkan wang adalah pertambahan kepada wang tersebut (Homoud, 1985). Sementara itu, Al-Tabiri (310 Hijrah) menyatkan bahawa perkataan riba ada kaitan dengan rabia, yang bermaksud bukit atau tanah tinggi. Maksud perkataan riba boleh diguna dalam dua konteks berbeza iaitu apabila berlaku pertambahan di dalam barangan itu sendiri dan juga apabila berlaku pertambahan akibat dari perbandingan atau perbezaan dua jenis barangan (Homoud, 1985).

Al-Maududi pula dalam memberikan definisi riba, telah membahagikan pendekatannya kepada dua bahagian iaitu dari segi bahasa dan dari segi istilah. Menurut beliau, dari segi bahasa riba membawa banyak maksud seperti mengembang, bertambah, naik, membesar, membiak, bukit dan tanah tinggi. Di dalam Al-Quran, banyak ayat yang memberi maksud riba sebagai berkembang, bertambah atau meningkat seperti yang terdapat di dalam surah Al-Haj ayat 5, surah Al-Ra’d ayat 17, surah Al-Nahl ayat 92, surah Al-Baqarah ayat 275 dan 276, surah Al-Mukminun ayat 50 dan surah Ar-Rum ayat 39. Dari segi istilah pula menurut Maududi, riba bermaksud pinjaman wang apabila dibayar kembali mempunyai dua ciri- ciri iaiitu tambahan atau lebihan daripada jumlah yang dipinjam dan ditetapkan terlebih dahulu kadar pertambahan itu berdasarkan kepada tempoh pinjaman.

Secara umumnya, riba merupakan satu tambahan atau lebihan atau tidak sama timbangan atau sukatan semas berlakunya pertukaran bahan ribawi. Riba mempunyai tiga unsur iaitu tambahan atau lebihan dari yang sedia ada ke atas modal pinjaman, penentuan tambahan ini berkaitan dengan masa dan persetujuan menjadi syarat ke atas bayaran tambahan yang ditentukan sebelumnya oleh sipemiutang ke atas sipenghutang.


KONSEP FAEDAH DARI PERSPEKTIF ORANG BUKAN ISLAM

Pengharaman terhadap pengambilan riba tidak hanya terhad kepada orang Islam tetapi orang bukan Islam juga dilarang daripada mengambil riba. Orang Yahudi misalnya dilarang mengambil faedah melalui pinjaman yang diberikan kepada orang-orang miskin sama ada di kalangan mereka ataupun orang-orang asing yang telah pun diterima untuk tinggal bersama-sama di dalam masyarakat mereka. Ini dapat dilihat di dalam kitab mereka Hebrew Bible melalui ayat 22:25 di dalam bab Exodus atau ‘Keluaran’ dan ayat A25: 35-37 bab Leviticus atau ‘Imamat’.

Jika engkau meminjamkan wang kepada salah seorang daripada Ummahku, orang
yang miskin dia antaramu, maka janganlah engkau berlaku sebagai seorang penagih
hutang tehadap dia; janganlah kamu bebankan bunga wang kepadanya.
(exodus 22:25)

Apabila saudaramu jatuh miskin, sehingga tidak sanggup bertahan di antaramu,
maka engkau harus menyokong dia sebagai orang asing dan pendatang, supaya dia
dapat hidup di antaramu. Janganlah engkau mengambil bunga wang atau riba
daripadanya, melainkan engkau harus takut akan Tuhanmu, supaya saudaramu
dapat hidup di antaramu.

Janganlah engkau memberi wangmu kepadanya dengan meminta bunga, juga
makananmu janganlah kau berikan dengan meminta riba,
(Leviticus 22: 35-37)
Daripada ayat-ayat di atas jelaslah bahawa orang Yahudi dilarang meminta lebih daripada yang dipinjamkannya. Sikap ini menggambarkan tingkah laku pemeras ugut yang menekan dan menindas orang miskin. Banyak lagi ayat-ayat di dalam bab-bab lain Hebrew Bible yang memuji mereka yang tidak mengamalkan faedah dan mengeji mereka yang mengambilnya seperti bab Ezekial ayat 18:8, ayat 18:17, ayat 18:13 dan bab Psalm ayat 15:5.

Di kalangan orang Yunani dan Rom pula tidak terdapat satu pun peruntukan di dalam undang-undng mereka yang melarang pengambilan faedah. Pada zaman tamadun Yunani iaitu pada abad keenam sebelum Masihi sehingga abad pertama Masihi, telah wujud beberapa kadar faedah yang bergantung sama ada ianya merupakan bayaran kepada pinjaman ataupun bayaran kepada pelaburan. Kadar faedah untuk pinjaman dibahagikan kepada lima jenis iaitu pinjaman biasa (6%-8%), pinjaman hartanah (6.67%-12%), pinjaman dari kota ke kota lain (7% -12%) dan pinjaman untuk perdagangan dan industri (12% - 18%). Kadar faedah bagi pelaburan pula adalah di antara 6% hingga 10% (Homer, 1977).

Semasa Tamadun Romawi (abad kelima Sebelum masihi sehingga abad keempat Masihi) pula kadar faedah yang dibenarkan adalah kadar pinjaman biasa di Rom (4% - 12.5%), kadar faedah untuk wilayah (6% - 100%) dan kadar faedah Byzantine (4% - 12.5%) (Homer, 1977). Walau bagaimanapun, amalan pengambilan faedah ini dikutuk oleh ahli falsafah Yunani yang terkenal seperti Plato dan Aristotle.

Di kalangan orang Kristian pula, pengambilan faedah telah diharamkan pada awalnya oleh paderi-paderi awal Kristian yang hidup dari kurun pertama Masihi sehingga kurun kedua belas. Mereka mengutuk amalan ini di dalam khutbah mereka kerana ianya melanggar ajaran Kristian yang menyeru kepada sifat pemurah. Pandangan mereka ini kemudiannya telah digubal dan dilaksanakan di dalam beberapa peraturan dan undang-undang yang dikenali sebagai Canon. Ahli-ahli gereja akan diturunkan pangkat atau dipecat sekiranya mereka mengamalkan faedah. Seterusnya larangan ini semakin memuncak pada abad kesembilan di mana kesemua paderi dikehendaki melarang pengikut Kristian daripada mengambil faedah dan menghukum pengikut yang degil seperti mereka tidak akan ditanam mengikut cara Kristian dan masyarakat, organisasi dan individu tidak dibenarkan menyewakan rumah-rumah mereka kepada orang-orang asing yang memakan faedah.

Walau bagaimanapun, dengan perkembangan pesat di bidang perniagaan pada awal abad ke dua belas Masihi yang menyebabkan wang dan kredit menjadi unsur terpenting di dalam masyarakat, wujud permintaan daripada golongan sarjana pada masa itu supaya konsep faedah untuk pinjaman ini dibincangkan semula. Golongan ini merupakan perintis kepada maksud perkataan faedah dan memberi perbezaan antara faedah dan usury. Faedah dianggap sah dan biasa manakala usury dianggap sebagai kadar faedah yang berlebihan. Mereka memutuskan bahawa niat atau perbuatan untuk mendapatkan keuntungan dengan memberikan pinjaman adalah berdoasa dan bertentangan dengan konsep keadilan namun pengambilan faedah daripada pinjaman adalah dibenarkan. Haram atau tidak faedah tersebut bergantung kepada niat sipemiutang iaitu tidak haram sekiranya ia sebagai pampasan kepada pinjaman yang dibuat untuk kebajikan.

Pendapat golongan reformis (kurun keenam belas sehingga 1836) agak berbeza daripada pandangan golongan sarjana tadi. Menurut John Calvin (1509 – 1564), faedah merupakan suatu dosa sekiranya ia menyakiti seseorang.Beliau berpendapat bahawa faedah sewajar agak perlu untuk perniagaan tetapi seseorang tidak boleh menjadikan perbuatan memakan faedah sebagai suatu pekerjaan. Secara umumnya, Calvin menyatakan bahawa faedah tidak berdosa selagi ianya tidak membeban atau menyakiti peminjam dan ia adalah sesuatu yang dibenarkan untuk pinjaman yang diberikan kepada golongan berada yang meminjam semata-mata untuk menambah keuntungan.



LARANGAN RIBA DALAM AL-QURAN

Islam telah melarang riba ummahnya mengambil apa jua jenis riba dan larangan ini dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran dan As-Suunah. Larangan yang terdapat di dalam Al-Quran diturunkan Allah secara berperingkat-peringkat. Larangan pertama dibuat melalui Surah Ar Rum ayat 39 yang berbunyi:

Riba yang kamu berikan dengan tujuan menambah zakat manusia, sebenarnya ia
tidak menambah di sisi Allah; (tetapi) zakat yang kamu keluarkan dengan maksud
mendapat keredhaan Allah adalah mereka yang mendapat pahala berlipat ganda.

Ayat ini diturunkan di Mekah yang pada ketika itu merupakan sebuah bandar yang maju dan mewah disebabkan aktiviti perdagangan dan perniagaan. Peniaga-peniaga di sana pada masa itu bukan sahaja terlibat di dalam perniagaan barangan tetapi mereka juga di dalam urusniaga pinjaman dan spekulasi. Amalan riba ini yang menyebabkan ayat ini diturunkan. Umat Islam disuruh mencari keuntungan melalui usaha sendiri dan bukan dengan cara menindas dan menekn orang lain.

Larangan kedua pula melalui Surah An Nisa ayat 161 yang bermaksud:

Dan disebabkan mereka memakan riba, padahal sesungguhnya mereka telah
dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta orang lain dengan jalan
yang batil, Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka
itu siksa yang pedih.

Ayat ini diturunkan di Madinah dan telah menimbulkan salah faham di kalangan bijak pandai sama ada ianya ditujukan kepada orang Islam ataupun orang Yahudi di Madinah.




Larangan ketiga terkandung di dalam Surah Al-Imran ayat 130:

Hai orang-orang yang beriman; jangan kamu makan riba berganda-ganda dan
bertaqwa kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.
Larangan di atas diturunkan sesudah Perang Uhud iaitu pada tahun ketiga Hijrah dan meliputi semua bentuk dan jenis riba. Perkataan berganda-ganda membawa maksud walau sedikitpun riba adalah haram apatah lagi kalau berganda-ganda.

Pada peringkat keempat, Allah telah menurunkan ayat 275 – 281 Surah Al Baqarah yang bermaksud:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa ssungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba.” Padahal Allah S.W.T telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan ) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambil dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah S.W.T. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang terus kekal dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu, akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya,(akibatnya kamu tidak akan menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan demikian) kamu tidak melakukan zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya. Dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

Dan Peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasnya sediktpun.

Ayat-ayat di atas yang diturunkan di Thaif melarang sekeras-kerasnya pengambilan riba, dengan secara khusus menegaskan terdapat perbezaan antara jual beli dan riba.


LARANGAN RIBA DI DALAM HADIS

Larangan riba dalam hadis pula boleh dikelaskan kepada tiga kategori:

1) pengharaman dalam bentuk umum
Antara hadis-hadis dalam kategori ini ialah:

Rasulullah melaknat (mengutuk) orang yang memakan (mengambil) riba, memberi (membayar) riba, kedua-dua saksi dan penulisnya, dan baginda bersabda, golongan ini semuanya adalah sama.
(Riwayat Muslim)

Baginda Nabi s.a.w. melaknati pemakan riba, saksi-saksinya dan penulisnya.
(Riwayat Al-Nasa’i)

Satu dirham wang riba yang dimakan oleh seseorang dengan sedar adalah lebih dahsyat tiga puluh enam kali dari dosa satu perbuatan zina.
(Riwayat Ahmad)

2) penegahan amalan jahiliyyah (riba hutang)

Contoh beberapa hadis dalam kategori ini ialah:

Sesungguhnys riba itu berlaku pada bertangguh.
(Riwayat Muslim)

Tidak berlaku riba pada benda yang ditukarkan secara berunjuk-unjuk (secara tunai).
(Riwayat Muslim)


3) penegahan amalan riba jual-beli atau riba tersembunyi

Hadis-hadis yang terdapat dalam kategori ini ialah:

Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, serupa dengan serupa, sama dengan sama, unjuk-berunjuk, sekiranya berbeza jenis barangan itu, maka kamu boleh berjual beli mengikut kehendak kamu dengan syarat urusniaga tersebut unjuk-berunjuk.
(Riwayat Muslim)

Bilal telah membawa buah tamar Barni (berkualiti tinggi), lalu Rasulullah bertanyakan dari mana buah tamar itu diperolehi. Bilal menjawab, “Tamar yang ada pada kami adalah Radi’ (bemutu rendah) lantas saya menjualnya dengan dua sa’ bagi mendapatkan satu sa’ untuk hidangan Rasulullah.” Rasulullah terus bersabda, “Hah, ini betul-betul riba, jangan kamu lakukan demikian sebaliknya jika kamu ingin membeli tamar, jualkan dahulu tamar yang ada pada kamu dan kemudian belilah tamar yang kamu kehendaki itu dengan harga yang kamu perolehi daripada jualan tadi.
(Riwayat Muslim)


PANDANGAN MAZHAB-MAZHAB TERHADAP RIBA

Di kalangan keempat-empat mazhab dalam Islam tidak terdapat perbezaan mengenai larangan dan bentuk riba yang melibatkan hutang atau pinjaman. Kesemua mereka bersetuju bahawa setiap hutang yang menghasilkan lebihan adalah riba. Walau bagaimanapun terdapat sedikit perbezaan pendapat mereka di dalam beberapa perkara yang ada kaitan dengan riba seperti sama ada orang Islam dibenarkan untuk melibatkan diri dengan urusniaga yang mempunyai unsur-unsur riba dengan orang bukan Islam.

Menurut pakar perundangan Islam, urusniaga yang dilakukan oleh orang Islam ini mungkin dilakukan di tiga wilayah yang berlainan iaitu Dar al-Salam, Dar al-Harb dan Dar al-Sulh. Mazhab Hanafi membenarkan orang Islam memasuki wilayah bukan Islam dan menjalankan urusniaga berdasarkan unsure-unsur riba termasuk dengan orang yang memeluk Islam tetapi tidak berpindah ke Negara Islam. Golongan Syiah juga berpendapat bahawa orang Islam tidak boleh memberi tetapi dibolehkan mengambil riba dariapda orang bukan Islam (Homoud, 1985). Kesemua mazhab Shafie, Maliki dan Hambali tidak bersetuju dengan pendapat tersebut dan percaya tidak ada perbezaan dari segi wilayah di dalam menentukan larangan untuk riba. Orang Islam dilarang memberi atau menerima riba sesama Islam dan juga dengan orang bukan Islam (Homoud, 1985).


JENIS-JENIS RIBA

Menurut Imam Shafie, riba boleh diklasifikasikan kepada dua kategori:

1) Riba Jual-Beli (Riba Al-Buyu’)

Riba jenis ini merujuk kepada jual-beli yang tidak sama timbangan atau sukatan atau semasa penyerahan barang-barang tertentu atau matawang pada ketika berjual beli atau secara tukar-menukar, bahan atau barangan tersebut yang sama sejenis. Ini ada disebutg di dalam hadis nabi yang berbunyi:

Emas dengan emas, perak dengan perak, barli dengan barli, tamar dengan
tamar, garam dengan garam, serupa dengan serupa, unjuk-berunjuk (secara
tunai); sesiapa juga yang membayar lebih atau meminta (mengambil) lebih maka
dia telah terlibat dengan riba. Orang yang mengambil dan yang membayar
adalah sama.
( Riwayat Muslim, al-Tirmidhi, al-Nasa’i)

Dari hadis tersebut bahan ribawi terdiri daripada dua kelompok iaitu matawang yang terdiri daripada emas dan perak danbahan makanan asas yang terdiri daripada gandum, barli, tamar dan garam.

Aktiviti riba dalam urursan jual beli terbahagi kepada dua jenis:
i. Riba Al-Fadl
Riba jenis ini merujuk kepada aktiviti jual beli antara bahan ribawi sama sejenis
tetapi tanpa persamaan timbangan atau sukatan yang sama semasa berlakunya jual
beli itu. Contohnya membeli beras dan dibayar dengan beras. Riba berlaku apabila
sukatan atau timbangan tidak sama seperti satu kilo beras Gred A dijual beli
dengan dua kilo beras Gred B.

ii. Riba al- Nasiah
Riba ini berlaku antara bahan ribawi sama jenis tetapi melibatkan penangguhan
bayaran, iaitu tanpa pnyerahan di waktu yang sama. Contohnya membeli gula dan
dibayar dengan gula juga tetapi urusniaga ini tidak dilakukan serentak.

Kedua-dua riba Al-Fadl dan riba Al-Nasiah dapat dielakkan dengan menggunakan matawang sebagai media perantaraan. Urusniaga yang melibatkan bahan makanan asas tidak disyaratkan sama timbangan atau sukatan asalkan serah menyerah di lakukan pada masa yang sama.

2) Riba Hutang-piutang

Riba jenis ini berlaku apabila wujud lebihan yang diisyaratkan atau dijanjikan untuk diberi kepada pemiutang. Lebihan ini diletakkan sebagai syarat kepada sesuatu kemudahan kewangan atau pinjaman atau pemberian kredit dari ursniaga jual beli tertangguh. Riba hutang-piutang in terbahagi kepada dua jenis:

i) Riba al-Qard
Riba ini meujuk kepada hutang atau pinjaman yang disyaratkan atau dijanjikan sesuatu faedah untuk kepentingan pihak sipemiutang .

ii) Riba al-Jahiliyyah
Riba al-Jahiliyyah adalah bayaran lebih dari hutang asal (pokok pinjaman) yang
dikenakan ke atas orang yang berhutang sekiranya hutang tidak dijelaskan pada
tempoh yang ditetapkan.


KESAN RIBA KE ATAS MASYARAKAT DAN NEGARA

Islam mengharamkan amalan riba ini kerana ia mempunyai implikasi yang besar ke atas kehidupan manusia. Menurut Al- Maududi riba keburukan riba boleh dilihat dari segi akal, dari segi sosial , dari segi akhlak dan dari segi ekonomi

a) Dari segi akal
Riba tumbuh di dalam diri manusia dan menjadikan mereka mempunyai sifat rakus, gelojoh, tamak, kedekut, ego dan sebagainya. Sifat-sifat ini akan menebal dan akhirnya menjadi darah daging yang sukar untuk dikikis lagi.

b) Dari segi sosial dan akhlak
Amalan riba akan merosakkan kemaslahatan dunia. Riba mendorong pemakannya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha dan bekerja. Ia juga merupakan penindasan terhadap orang-orang miskin di mana pihak pemberi hutang akan bertambah kaya sementara penerima hutang akan bertambah miskin dan tertekan. Ini akan mewujudkan ketidaksaman di dalam masyarakat. Selain itu, amalan riba boleh menyebabkan kasih-sayang, sikap tolong-menolong dan mengasihani antara satu sama lain akan hilang. Riba boleh merosak dan merenggang hubungan antara orang kaya pemakan riba dengan orang miskin dan menimbulkan perasaan benci dan iri hati di kalangan mereka. Konflik boleh berlaku akibat ketidakpuasan hati di kalangan peminjam seperti rompakan, pembunuhan dan lain- lain. Ini boleh mengganggu gugat kestabilan masyarakat secara keseluruhan.

c) Dari segi ekonomi
Riba yang tinggi memusnahkan daya penarik pelabur, menyebabkan kekurangan pekerjaan dan pendapatan. Ia juga merosakkan perkembangan ekonomi dan mengakibatkan kan inflasi. Riba diperoleh tanpa mengusahakan sesuatu dan meletakkan kesemua risiko ke atas bahu peminjam.


KESIMPULAN

Pengharaman riba masih merupakan elemen yang penting dalam perniagaan Islam untuk mewujudkan sebuah ekonomi yang bertanggungjawab secara sosial. Sejak beberapa dekad yang lalu, menurut satu laporan oleh Institut Perbankan dan Insurans Islam, sebanyak 150 institusi perbankan Islam telah mengurus $100 bilion di dalam Negara-negara Islam dan luar Negara. Minat kepada pelaburan secara Islam meningkat, di mana pasaran saham antarabangsa telah melancarkan indeks pasaran secara Islam mengikut panduan yang diberi Al Quran. Ini berkaitan dengan pengaruh etika Islam yang menekankan kepada konsep keadilan sosial dan keadilan di dalam pembahagian kekayaan melalui pengharaman riba. Apabila Quran mengharamkan urusniaga yang melibatkan riba tujuannya adalah untuk melindungi mereka yang tidak berkemampuan daripada mereka yang kaya yang mungkin mengambil kesempatan daripada mereka. Oleh itu, pengharaman riba oleh Islam hendaklah dilihat sebagai satu usaha untuk memperbaiki etika manusia bahawa semua manusia mestilah dilayan dengan adil, bukannya sebagai halangan kepada perniagaan.















RUJUKAN


Abdulaziz Sachedina. (tanpa tarikh). The Issue of Riba In Islamic Faith and Law. (atas
talian) http.www.virgnia.edu.

Abdul Rahman Nawas, Nawawee Mohammad, Omardin Hj Ashaari, Arip Saaya. 1995.
Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.

Azlan Khalili Shamsuddin. 2000. Riba: Alternatifnya dalam sistem bank Islam. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bilal Dannoun. (tanpa tarikh). Prohibition of Riba. (atas talian). http. www.asj.com.

Mat Hassan Abu Bakar. 2003. Apa itu Ekonomi Islam. Bentong: PTS Publications.

Mustafa Hj Daud. 1989. Pemikiran Politik dan Ekonomi Al-Maududi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Nor Mohamed Yakcop. 1996. Teori, amalan dan prospek system kewangan Islam di
Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publicators and distributors Sdn Bhd.

Sudin Haron.1996. Prinsip dan Operasi perbankan Islam Edisi Kedua. Kuala Lumpur:
Berita Publishing Sdn Bhd.

Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, Hj. Muhammad Nasri hj Md Hussain,
Mohd Nizam Hanafiah. 2005. Pengantar Perniagaan Islam.Petaling Jaya:
Prentice Hall.